Showing posts with label Isu. Show all posts
Showing posts with label Isu. Show all posts

Thursday, February 12, 2015

Surat kepada pengarang :)


Pada satu hari, aku terbaca tentang kempen "Save Your Dara". Aku pun tertanya-tanya la jugak apakah yang dimaksudkan dengan kempen tersebut:

So sila baca di bawah:

http://www.sinarharian.com.my/nasional/jom-sertai-kempen-save-your-dara-1.355369

SHAH ALAM – Bersempena dengan Karnival Karangkraf 2015 yang bakal berlangsung esok hingga Ahad ini, majalah terbitan Karangkraf, Dara.com memperkenalkan kempen kesedaran, ‘Save Your Dara’.

Bermatlamat untuk memberi kesedaran dalam menjaga kesucian diri dalam kalangan wanita dan masyarakat.

Editor Majalah Dara.com, Noor Fazidah Umar berkata, kempen tersebut bukan hanya terbuka kepada wanita yang beragama Islam, malah ia terbuka kepada semua wanita tidak kira umur, bangsa dan agama.

“Kempen ini merupakan kempen yang julung kali diadakan untuk memberi kesedaran kepada remaja agar gejala-gejala sosial dapat ditangani pada peringkat awal.

“Masalah seperti kes-kes pembuangan bayi, anak luar nikah dan masalah hubungan seks bebas berkait rapat dengan bagaimana seseorang itu menjaga kesucian diri,” katanya kepada Sinar Online, di sini, hari ini.

Orang ramai dijemput berkunjung ke  Karnival Karangkraf di Kumpulan Media Karangkraf pada Sabtu ini, jam 9.00 pagi di pentas utama Karnival Karangkraf.

“Pengunjung yang hadir akan menerima pelbagai barangan ekslusif termasuk baju T, majalah dan sebagainya.

“Kami juga menyediakan hadiah ekslusif kepada 300 pengunjung pertama yang berkunjung ke gerai kami pada Sabtu nanti,” katanya lagi.

Sementara itu, tinjauan Sinar Online hari ini mendapati persiapan dalam menghadapi Karnival Karangkraf hampir siap sepenuhnya.

Rata-rata khemah yang bakal dijadikan gerai majalah dan pameran sudah siap dipasang dan didirikan.

            **************************************************************

Hurmm.. kenyataan tersebut membuatkan aku terus menulis surat kepada pengarang, just to share my thought towards that campaign. and TMI published it:

http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/lelaki-juga-perlu-jaga-kesucian-diri-azra#sthash.tADEuxRk.dpuf

Lelaki juga perlu jaga kesucian diri – Azra
Published: 30 January 2015 5:43 PM
Pagi tadi saya membaca satu berita di mana dengan satu kempen diberi nama "Save Your Dara" yang akan diperkenalkan oleh majalah Dara.com terbitan Karangkraf pada hujung minggu ini. Matlamatnya untuk memberi kesedaran dalam menjaga kesucian diri di kalangan wanita dan masyarakat.
Menurut Editor Majalah Dara.com, Noor Fazidah Umar berkata, kempen tersebut bukan hanya terbuka kepada wanita yang beragama Islam, malah ia terbuka kepada semua wanita tidak kira umur, bangsa dan agama.
"Kempen ini merupakan kempen yang julung kali diadakan untuk memberi kesedaran kepada remaja agar gejala-gejala sosial dapat ditangani pada peringkat awal.
"Masalah seperti kes-kes pembuangan bayi, anak luar nikah dan masalah hubungan seks bebas berkait rapat dengan bagaimana seseorang itu menjaga kesucian diri," katanya kepada Sinar Online, hari ini.
Tahniah kepada majalah Dara.com kerana menganjurkan kempen yang memberikan kesedaran kepada remaja-remaja kita. Namun ada sesuatu yang mengganggu dan bermain di fikiran saya. Pertama sekali respons saya kepada kempen ini ialah kenapa kumpulan sasaran hanya wanita sahaja sedangkan gejala sosial ini juga melibatkan golongan lelaki?
Gejala buang bayi, anak luar nikah dan hubungan seks bebas adakah pelakunya semata-mata golongan wanita? Bagaimana lahir anak luar nikah jika tidak ada hubungan dengan lelaki? Bagaimana pula dengan jenayah rogol?
Adakah golongan lelaki kita sudah cukup diberikan kesedaran dalam menjaga kesucian diri mereka? Bagaimana tentang didikan supaya mereka lebih menghormati dan tidak mengambil kesempatan terhadap golongan wanita?
Saya juga agak terkejut dengan nama kempen tersebut” Save Your Dara" seolah-olah segala gejala sosial yang berlaku ini hanya disebabkan oleh golongan wanita. Tidak dinafikan bila berlakunya hubungan di luar nikah, impak yang jelas kepada wanita kerana mereka mempunyai risiko mengandung dan melahirkan.
Tetapi tidak bagi lelaki, mereka seolah-olah suci dan maksum. Touch and go tanpa meninggalkan apa-apa kesan terhadap diri mereka. Siapa tahu jika lelaki tersebut masih teruna dan suci? Mungkin juga dia adalah salah seorang bapa kepada bayi-bayi yang dibuang itu.
Saya berpendapat adalah lebih afdal jika kempen ini disasarkan kepada lelaki dan juga perempuan supaya sama-sama menjaga kesucian diri dan menghindarkan daripada terjebak dengan gejala-gejala sosial. Lebih bagus jika remaja-remaja  kita diberikan pendedahan tentang pendidikan seks secara komprehensif.
Pendidikan seks yang komprehensif mendidik kita untuk mengenali diri kita sendiri termasuk bagaimana organ-organ reproduktif kita berfungsi, bagaimana untuk menjaga kesihatan tubuh kita, risiko dan kesan kepada kesihatan fizikal dan mental sekiranya melakukan hubungan seks, menghormati diri kita sendiri dan juga orang lain, kepentingan berkomunikasi (no means no), dinamik dalam sesuatu perhubungan dan potensi untuk keganasan berlaku jika tiada persefahaman dan saling hormat-menghormati di antara satu sama lain.
Janganlah kita sempitkan minda dan pemikiran pendidikan seks hanyalah semata-mata bagaimana melakukan hubungan seks. – 30 Januari, 2015.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
That is my opinion, some may agree and some may not agree. But never mind. semua orang ada pendapat masing-masing. Peace no war uols!

~end~

Friday, January 23, 2015

Keganasan Rumahtangga dan Marital Rape


Just to share my tulisan on Keganasan Rumahtangga dan marital rape.


http://azrinerazakmenulis.blogspot.com/2014/09/keganasan-rumahtangga-dan-marital-rape_11.html

Linda (bukan nama sebenar) sudah tidak tahan lagi! Sepanjang tempoh perkahwinannya dengan Salleh (bukan nama sebenar), dia sentiasa hidup dalam ketakutan. Salleh seorang yang panas baran, suka memaki hamun, memukul dan menyepaknya. Linda selalu menjadi mangsa keganasan Salleh walaupun hanya kesalahan kecil yang dia lakukan. Gaji yang diperolehinya habis diambil oleh Salleh. Salleh memperlakukannya tak ubah seperti hamba abdi. Bila dia mahukan Linda melayan kehendak batinnya, tidak kira lah suka atau tidak,  Linda terpaksa menurut kehendaknya. Linda pernah dimasukkan ke hospital kerana jahitan di vaginanya terbuka kerana Salleh memaksanya melakukan hubungan kelamin ketika dia baru seminggu melahirkan anak. Pernah juga satu ketika setelah dibelasah teruk, Salleh memaksanya melakukan hubungan intim. Dek kerana takut, Linda terpaksa menurut kehendak rakus Salleh itu. Kejam! ketika itu Linda rasakan dia seperti dirogol oleh suami sendiri!

Apa yang dialami Linda (bukan nama sebenar) adalah contoh kes keganasan rumahtangga yang banyak berlaku dalam masyarakat di Malaysia. Kes-kes keganasan rumahtangga bukanlah sesuatu yang baru di dalam masyarakat kita. Ia merupakan satu bentuk jenayah yang terjadi di dalam keluarga. Kebiasaannya mangsa keganasan adalah wanita dan kanak-kanak. Walaupun tidak dinafikan ada juga mangsanya terdiri dari lelaki, namun bilangannya tidak sebanyak mangsa yang melibatkan wanita dan kanak-kanak.

Kita pernah dikejutkan dengan berita seorang isteri yang mati dibelasah oleh suaminya. Menurut Kosmo!19 Mei 2013, [1]mangsa Nur Hidayah Abd. Ghani dikatakan ingin menuntut cerai dari suaminya setelah berumahtangga selama 11 tahun kerana tidak tahan dengan sikap suaminya yang panas baran dan kaki pukul. Suspek yang berang dengan tindakan isterinya itu bertindak memukul mangsa sehingga mati.

Selain kes di atas, pada 6 Januari 2013, Kosmo![2] melaporkan seorang isteri di dalam pantang selepas bersalin di Kangar terpaksa dirawat di hospital akibat dibelasah teruk oleh suaminya menggunakan kerusi, lesung batu, bingkai gambar dan pisau, kerana suami beliau mengesyakinya curang. Di Kota Baharu, akbar Berita Harian[3] melaporkan seorang isteri dimasukkan ke hospital mengalami 40 peratus melecur akibat dibakar oleh suaminya kerana mengesyaki isterinya berlaku curang. Satu lagi kes yang dilaporkan oleh Berita Harian[4] seorang wanita dibelasah di dalam lif oleh suaminya. Kejadian itu berlaku di dalam lif hospital swasta di Bukit Mertajam. Sebenarnya banyak lagi kes-kes penderaan yang dilakukan oleh suami yang dilaporkan.

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun memberitahu, dalam tempoh berkenaan iaitu dari 2000 hingga 2012, sebanyak 42,499 kes keganasan rumah tangga dilaporkan berlaku di seluruh negara.[5]

Keganasan rumahtangga bukanlah masalah peribadi atau masalah keluarga, ia adalah satu bentuk jenayah dibawah Akta Keganasan Rumahtangga 1994 (Akta 521). Keganasan rumahtangga ditakrifkan seperti perlakuan mana-mana perbuatan tersebut:

•           Secara bersengaja atau dengan disedarinya meletakkan atau cuba meletakkan mangsa itu dalam keadaan ketakutan dan kecederaan fizikal.

•           Menyebabkan kecederaan fizikal kepada mangsa itu dengan sesuatu perbuatan yang sepatutnya diketahui akan mengakibatkan kecederaan fizikal.

•           Memaksa mangsa dengan paksaan atau ancaman untuk melakukan apa-apa kelakuan atau perbuatan berbentuk seksual ataupun selainnya yang mangsa itu berhak tidak melakukannya.

•           Mengurung atau menahan mangsa tanpa kerelaan mangsa.

•           Melakukan khianat atau kemusnahan atau kerosakan kepada harta dengan niat untuk menyebabkan atau dengan disedari bahawa ia berkemungkinan menyebabkan kesedihan atau kegusaran kepada mangsa itu.

Keganasan rumahtangga bukan sahaja melibatkan fizikal tetapi juga mental dan emosi. Keganasan dari segi mental seperti kata-kata makian untuk merendah-rendahkan martabat isteri contohnya seperti bodoh, sial dan sebagainya. Juga termasuk kata-kata ancaman seperti ugutan bunuh bagi menakut-nakutkan mangsa.


Keganasan seksual juga merupakan satu bentuk keganasan rumahtangga. Keganasan seksual didefinisikan sebagai dipaksa secara fizikal melakukan seks, melakukan hubungan seks dalam ketakutan terhadap apa yang bakal dilakukan pasangan dan patuh melakukan sesuatu yang seksual yang memalukan atau menjatuhkan maruah. Namun keganasan seksual atau rogol di dalam perkahwinan (marital rape) masih dipertikaikan kewujudannya.


Menurut Menurut presiden Kelab Taat Suami, Fauziah Ariffin, tidak wujud rogol di dalam perkahwinan di dalam perkahwinan kerana perkahwinan itu telah menghalalkan hubungan intim antara suami isteri. Malah isteri perlu melayan suami seperti layanan pelacur kelas pertama![6]

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-71 yang bersidang pada 22 - 24 November 2005 telah membincangkan tentang Hukum Suami Yang Melakukan Hubungan Seksual Secara Paksaan. Muzakarah telah memutuskan bahawa di dalam Islam hubungan di antara lelaki dan wanita adalah dihalalkan setelah melalui akad Ijab dan Qabul yang sah.
Oleh itu Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa tiada istilah rogol atau melanggar hak asasi manusia dalam sebuah perkahwinan yang sah dan keganasan rumahtangga yang berlaku adalah lebih bersifat dharar yang boleh diambil tindakan melalui peruntukan undang-undang sedia ada. (sumber dari laman sesawang e-Fatwa)[7]
Di bawah Seksyen 375A Kanun Keseksaan, seorang suami yang cuba mendapatkan seks secara paksa daripada isterinya boleh dihukum penjara untuk tempoh sehingga lima tahun jika sabit kesalahan.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pada tahun 2004 juga berpendapat perbuatan merogol isteri adalah satu kesalahan di bawah Perkara 16(1)(c) Konvensyen Menghapuskan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita PBB. Hubungan seks suami isteri suatu yang halal di sisi agama, namun jika melibatkan unsur keganasan ia tetap menjadi satu kesalahan di sisi undang-undang dan agama. Melakukan hubungan seksual secara paksaan tanpa kerelaan pasangan dan mengugut akan mencederakan secara fizikal dan juga ugutan yang boleh menggangu mental dan emosi pasangan adalah bertentangan dengan prinsip yang digariskan oleh Islam.

Di manakah ketenangan dan kasih sayang yang ditekankan di dalam al-Quran tentang kenikmatan hubungan suami isteri jika terdapat unsur keganasan? Antara ayat al-Quran yang menyentuh tentang hubungan suami isteri ialah:


”Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” Surah Ar-Rum 30:21

Rasulullah SAW pernah menyebut yang bermaksud, “Tergamakkah seseorang kamu memukul isteri sepertimana memukul seorang hamba abdi, kemudian dia memeluknya pula, tidakkah dia (suami) merasa malu?” (Hadis riwayat Ibnu Saad)


Bisik-bisik: Kesimpulannya gejala keganasan rumahtangga bukan lah sesuatu yang patut berlaku dalam sesebuah perkahwinan. Tidak kira terhadap suami, isteri atau pun anak-anak. Hubungan suami isteri mestilah berlandaskan kepada kasih sayang antara satu sama lain, hormat menghormati barulah kedua-dua pasangan merasakan kenikmatan alam berumahtangga.


Azrine Razak_AzRa menulis: 
11 Sept 2014