Friday, April 24, 2009

Isu ini.....

Anak ikut agama asal ibu bapa
Oleh Nor Azma Laila :norazma@bharian.com.my

Pertukaran agama bukan alasan lepas diri daripada perkahwinan
KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan kanak-kanak mesti kekal menganut agama asal ketika ibu bapanya berkahwin walaupun selepas salah seorang pasangan itu menukar agama. Keputusan itu, yang dibuat dalam mesyuarat Kabinet kelmarin, adalah langkah penyelesaian jangka panjang berhubung isu pertikaian status agama kanak-kanak berkenaan apabila ibu atau bapa mereka menukar agama.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Nazri Aziz, berkata Kabinet membuat keputusan itu bagi mengelak individu yang tidak bersalah, terutama anak-anak, menjadi mangsa dan dilayan dengan tidak adil. "Anak perlu dibesarkan mengikut agama asal ibu bapa mereka. Bagi pasangan yang bercadang menukar agama, mereka sepatutnya menyelesaikan terlebih dulu semua masalah berkaitan tanggungjawabnya. "Penukaran agama tidak boleh dijadikan alasan untuk membubarkan sesuatu perkahwinan secara automatik atau untuk mendapatkan hak penjagaan terhadap anak-anak," katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, semalam.


Beliau merujuk kes Mohd Ridzuan Abdullah atau K Patmanathan, 40, bekas penganut Hindu, yang kini memeluk Islam. Mohd Ridzuan dilaporkan turut menukar agama anaknya, Tevi Darsiny, 12, Karan Dinesh, 11, dan Prasana Diksa, setahun, serta memohon hak penjagaan terhadap tiga anaknya itu di Mahkamah Syariah walaupun ibu mereka, Indra Ghandhi, 35, masih beragama Hindu. Berikutan itu, Indra meminta bantuan Hindu Sangam di Ipoh kerana mendakwa Mohd Ridzuan menukar agama tiga anak mereka tanpa kehadiran dan memaklumkannya terlebih dulu. Nazri berkata, lebih banyak kes seumpamanya dijangka muncul pada masa akan datang dan kerana itu Kabinet terpaksa membuat keputusan.



Sebagai penyelesaian jangka pendek, katanya, Kabinet mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom, menemui Mohd Ridzuan bagi menjelaskan keputusan jemaah Menteri itu. "Kabinet juga membuat keputusan sekiranya sesuatu perkahwinan didaftarkan di Mahkamah Sivil, maka ia hanya boleh dibubarkan mengikut undang-undang sivil. "Jangan jadikan agama, contohnya Islam, sebagai alat untuk melepaskan diri daripada perkahwinan kerana perbuatan seperti ini akan mencemarkan nama agama itu," katanya. Beliau berkata, Kabinet turut bersetuju bahawa tarikh penguatkuasaan undang-undang Islam terhadap seseorang mualaf ialah tarikh dia memeluk agama itu.



Bagi menguatkuasakan keputusan itu, Pejabat Peguam Negara akan diminta meneliti semua undang-undang berkaitan yang perlu dipinda, tetapi tidak termasuk undang-undang syariah, yang terletak di bawah bidang kuasa Sultan. Nazri berkata, kerajaan juga bersedia mendengar sebarang pandangan masyarakat mengenai keputusan berkenaan bagi kebaikan semua pihak.



* Fikir2kan la..

1 comment:

@tune® said...

erm..
alhamdulillah kite lahir dlam Islam