Thursday, December 22, 2011

Asam Garam Rumahtangga

http://fiestafeminista.tumblr.com/post/13098044495/asam-garam

Asam Garam Rumahtangga

Nukilan ini ditulis oleh Azrine Razak. FF menerima hasil tulisan mengenai feminisma, hak asasi manusia dan demokrasi di Malaysia. Hantar tulisan anda melalui Tumblr atau emel.
                                                    **********
”Susah betul kalau jiran jenis yang mengintip 24jam apa yang kita buat. Lepas tu mula menjaja cerita yang bukan-bukan tentang rumahtangga kita. Kepohnya! Tak tahan aku la”ngomel Siti.
Bukan sekali dua Siti dengar hal rumahtangganya dijaja tapi sudah banyak kali. Namun dibiarkan sahaja. Tapi setakat mana kesabaran ini mampu ditahan. Sabar ada hadnya.

Kak Minah, jiran Siti mengatakan yang dia suka mengawal dan membodohkan suami. Kononnya Siti ni ”Queen Control” sebab Kak Minah selalu nampak suaminya; Ishak membuat kerja-kerja rumah seperti menyidai pakaian, menyapu sampah. Sampai ke tahap itu Kak Minah membuat kesimpulan!
Tetapi pada Siti itu normal. Dia bekerja, Ishak pun bekerja. Pulang dari kerja masing-masing sibuk menyiapkan keperluan rumahtangga dan menguruskan anak-anak. Kadang-kadang tu, Ishak akan masak untuk mereka sekeluarga. Salah ke? Kalau itu pun orang dah salah tafsir, susah lah!

Kalau diikutkan apa yang orang cakap, memang sampai bila pun tak selesai. Makin menyakitkan hati saja.
Apa yang Siti tahu, dia dan Ishak tiada masalah dengan rumahtangga mereka. Mereka saling bantu membantu menguruskan kerja-kerja rumah dan menjaga anak-anak. Ishak tiada masalah menjaga anak-anak jika Siti terpaksa bekerja di luar kawasan. Mereka memang tiada pembantu rumah, mak dan ayah pun jauh di kampung. Lagipun mereka tak mahu menyusahkan mak dan ayah untuk menjaga cucu-cucu yang sedang lasak.

Pada Siti apa yang penting adalah kesefahaman dan kesepakatan mereka dalam melayari bahtera perkahwinan. Anak-anak juga rasa mereka sentiasa ada teman untuk dirujuk. Malahan hubungan kekeluargaan semakin bertambah erat.

Bisik-bisik:
Sudah menjadi taboo di dalam masyarakat kita, kebanyakkannya meletakkan tanggungjawab menguruskan rumahtangga dan mendidik anak-anak ke atas bahu isteri semata-mata. Namun suami harus sedar, sebagai bapa; mereka juga mempunyai peranan yang besar dalam mendidik anak-anak. 

Sudah tiba masanya tanggungjawab ini dikongsi bersama suami dan isteri. Tidak salah jika suami menolong isteri membuat kerja-kerja rumah serta mendidik anak-anak kerana kebanyakkan isteri juga bekerja untuk membantu suami menyara kehidupan.

Azrine Razak adalah seorang pegawai program dengan NGO wanita di Malaysia.

No comments: