Friday, January 23, 2015

Keganasan Rumahtangga dan Marital Rape


Just to share my tulisan on Keganasan Rumahtangga dan marital rape.


http://azrinerazakmenulis.blogspot.com/2014/09/keganasan-rumahtangga-dan-marital-rape_11.html

Linda (bukan nama sebenar) sudah tidak tahan lagi! Sepanjang tempoh perkahwinannya dengan Salleh (bukan nama sebenar), dia sentiasa hidup dalam ketakutan. Salleh seorang yang panas baran, suka memaki hamun, memukul dan menyepaknya. Linda selalu menjadi mangsa keganasan Salleh walaupun hanya kesalahan kecil yang dia lakukan. Gaji yang diperolehinya habis diambil oleh Salleh. Salleh memperlakukannya tak ubah seperti hamba abdi. Bila dia mahukan Linda melayan kehendak batinnya, tidak kira lah suka atau tidak,  Linda terpaksa menurut kehendaknya. Linda pernah dimasukkan ke hospital kerana jahitan di vaginanya terbuka kerana Salleh memaksanya melakukan hubungan kelamin ketika dia baru seminggu melahirkan anak. Pernah juga satu ketika setelah dibelasah teruk, Salleh memaksanya melakukan hubungan intim. Dek kerana takut, Linda terpaksa menurut kehendak rakus Salleh itu. Kejam! ketika itu Linda rasakan dia seperti dirogol oleh suami sendiri!

Apa yang dialami Linda (bukan nama sebenar) adalah contoh kes keganasan rumahtangga yang banyak berlaku dalam masyarakat di Malaysia. Kes-kes keganasan rumahtangga bukanlah sesuatu yang baru di dalam masyarakat kita. Ia merupakan satu bentuk jenayah yang terjadi di dalam keluarga. Kebiasaannya mangsa keganasan adalah wanita dan kanak-kanak. Walaupun tidak dinafikan ada juga mangsanya terdiri dari lelaki, namun bilangannya tidak sebanyak mangsa yang melibatkan wanita dan kanak-kanak.

Kita pernah dikejutkan dengan berita seorang isteri yang mati dibelasah oleh suaminya. Menurut Kosmo!19 Mei 2013, [1]mangsa Nur Hidayah Abd. Ghani dikatakan ingin menuntut cerai dari suaminya setelah berumahtangga selama 11 tahun kerana tidak tahan dengan sikap suaminya yang panas baran dan kaki pukul. Suspek yang berang dengan tindakan isterinya itu bertindak memukul mangsa sehingga mati.

Selain kes di atas, pada 6 Januari 2013, Kosmo![2] melaporkan seorang isteri di dalam pantang selepas bersalin di Kangar terpaksa dirawat di hospital akibat dibelasah teruk oleh suaminya menggunakan kerusi, lesung batu, bingkai gambar dan pisau, kerana suami beliau mengesyakinya curang. Di Kota Baharu, akbar Berita Harian[3] melaporkan seorang isteri dimasukkan ke hospital mengalami 40 peratus melecur akibat dibakar oleh suaminya kerana mengesyaki isterinya berlaku curang. Satu lagi kes yang dilaporkan oleh Berita Harian[4] seorang wanita dibelasah di dalam lif oleh suaminya. Kejadian itu berlaku di dalam lif hospital swasta di Bukit Mertajam. Sebenarnya banyak lagi kes-kes penderaan yang dilakukan oleh suami yang dilaporkan.

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun memberitahu, dalam tempoh berkenaan iaitu dari 2000 hingga 2012, sebanyak 42,499 kes keganasan rumah tangga dilaporkan berlaku di seluruh negara.[5]

Keganasan rumahtangga bukanlah masalah peribadi atau masalah keluarga, ia adalah satu bentuk jenayah dibawah Akta Keganasan Rumahtangga 1994 (Akta 521). Keganasan rumahtangga ditakrifkan seperti perlakuan mana-mana perbuatan tersebut:

•           Secara bersengaja atau dengan disedarinya meletakkan atau cuba meletakkan mangsa itu dalam keadaan ketakutan dan kecederaan fizikal.

•           Menyebabkan kecederaan fizikal kepada mangsa itu dengan sesuatu perbuatan yang sepatutnya diketahui akan mengakibatkan kecederaan fizikal.

•           Memaksa mangsa dengan paksaan atau ancaman untuk melakukan apa-apa kelakuan atau perbuatan berbentuk seksual ataupun selainnya yang mangsa itu berhak tidak melakukannya.

•           Mengurung atau menahan mangsa tanpa kerelaan mangsa.

•           Melakukan khianat atau kemusnahan atau kerosakan kepada harta dengan niat untuk menyebabkan atau dengan disedari bahawa ia berkemungkinan menyebabkan kesedihan atau kegusaran kepada mangsa itu.

Keganasan rumahtangga bukan sahaja melibatkan fizikal tetapi juga mental dan emosi. Keganasan dari segi mental seperti kata-kata makian untuk merendah-rendahkan martabat isteri contohnya seperti bodoh, sial dan sebagainya. Juga termasuk kata-kata ancaman seperti ugutan bunuh bagi menakut-nakutkan mangsa.


Keganasan seksual juga merupakan satu bentuk keganasan rumahtangga. Keganasan seksual didefinisikan sebagai dipaksa secara fizikal melakukan seks, melakukan hubungan seks dalam ketakutan terhadap apa yang bakal dilakukan pasangan dan patuh melakukan sesuatu yang seksual yang memalukan atau menjatuhkan maruah. Namun keganasan seksual atau rogol di dalam perkahwinan (marital rape) masih dipertikaikan kewujudannya.


Menurut Menurut presiden Kelab Taat Suami, Fauziah Ariffin, tidak wujud rogol di dalam perkahwinan di dalam perkahwinan kerana perkahwinan itu telah menghalalkan hubungan intim antara suami isteri. Malah isteri perlu melayan suami seperti layanan pelacur kelas pertama![6]

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-71 yang bersidang pada 22 - 24 November 2005 telah membincangkan tentang Hukum Suami Yang Melakukan Hubungan Seksual Secara Paksaan. Muzakarah telah memutuskan bahawa di dalam Islam hubungan di antara lelaki dan wanita adalah dihalalkan setelah melalui akad Ijab dan Qabul yang sah.
Oleh itu Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa tiada istilah rogol atau melanggar hak asasi manusia dalam sebuah perkahwinan yang sah dan keganasan rumahtangga yang berlaku adalah lebih bersifat dharar yang boleh diambil tindakan melalui peruntukan undang-undang sedia ada. (sumber dari laman sesawang e-Fatwa)[7]
Di bawah Seksyen 375A Kanun Keseksaan, seorang suami yang cuba mendapatkan seks secara paksa daripada isterinya boleh dihukum penjara untuk tempoh sehingga lima tahun jika sabit kesalahan.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pada tahun 2004 juga berpendapat perbuatan merogol isteri adalah satu kesalahan di bawah Perkara 16(1)(c) Konvensyen Menghapuskan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita PBB. Hubungan seks suami isteri suatu yang halal di sisi agama, namun jika melibatkan unsur keganasan ia tetap menjadi satu kesalahan di sisi undang-undang dan agama. Melakukan hubungan seksual secara paksaan tanpa kerelaan pasangan dan mengugut akan mencederakan secara fizikal dan juga ugutan yang boleh menggangu mental dan emosi pasangan adalah bertentangan dengan prinsip yang digariskan oleh Islam.

Di manakah ketenangan dan kasih sayang yang ditekankan di dalam al-Quran tentang kenikmatan hubungan suami isteri jika terdapat unsur keganasan? Antara ayat al-Quran yang menyentuh tentang hubungan suami isteri ialah:


”Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” Surah Ar-Rum 30:21

Rasulullah SAW pernah menyebut yang bermaksud, “Tergamakkah seseorang kamu memukul isteri sepertimana memukul seorang hamba abdi, kemudian dia memeluknya pula, tidakkah dia (suami) merasa malu?” (Hadis riwayat Ibnu Saad)


Bisik-bisik: Kesimpulannya gejala keganasan rumahtangga bukan lah sesuatu yang patut berlaku dalam sesebuah perkahwinan. Tidak kira terhadap suami, isteri atau pun anak-anak. Hubungan suami isteri mestilah berlandaskan kepada kasih sayang antara satu sama lain, hormat menghormati barulah kedua-dua pasangan merasakan kenikmatan alam berumahtangga.


Azrine Razak_AzRa menulis: 
11 Sept 2014

No comments: